CUEPACS MAHU SEMUA JENIS ELAUN, INSENTIF PENJAWAT AWAM DIKAJI SEMULA

KOTA KINABALU, 14 Nov (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu semua jenis elaun dan insentif penjawat awam di seluruh negara termasuk imbuhan tetap perumahan dan bayaran insentif wilayah untuk Sabah dan Sarawak dikaji semula.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata perkara itu perlu memandangkan harga rumah dan kos sara hidup rakyat di negara ini semakin meningkat.

"Di mana-mana negeri, elaun tidak boleh dibeza-bezakan seperti dahulu sebab sekarang ini harga rumah dan kos sara hidup terlalu tinggi.

"Sebab itu Cuepacs menyuarakan supaya semua jenis elaun, insentif dan imbuhan tetap perumahan perlu dikaji semula bersama dengan kajian suruhanjaya transformasi perkhidmatan awam," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Bersepadu Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, di sini Rabu.

Omar berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan pelbagai pihak agar elaun perumahan penjawat awam dari Sabah dan Sarawak yang bertugas di semenanjung atau sebaliknya diseragamkan.

BERNAMA
14 November 2012

0 comments: