PEMBIMBING RAKAN SEBAYA

Matlamat PRS


Membina budaya kasih mesra dan saling membantu di kalangan pelajar.

Membina pelajar yang yakin diri dan menghayati nilai-nilai murni berasaskan kepada kepercayaan kepada Tuhan.

Memupuk potensi/bakat kepemimpinan dan menjadi individu yang peka, bertimbangrasa, rela,taat, menolong dan berupaya hidup selesa dalam masyarakat majmuk.

Melalui pengaruh positif dan persepaduan dalam aktiviti lain, PRS dapat memainkan peranan membantu mengurangkan masalah salahlaku di kalangan pelajar.   Falsafah PRS

Sebagai PRS anda perlu sentiasa menghayati Falsafah PRS iaitu "Bantu Diri Untuk Membantu Rakan Lain". Dalam usaha membantu rakan, anda mendapat pengetahuan, kemahiran dan pengalaman untuk meningkatkan kecemerlangan diri. Oleh itu, anda seharusnya berusaha mempertingkatkan diri dari segi ilmu pengetahuan, perlakuan, perhubungan, kreativiti dan keimanan.

Peranan PRS


Menjadi rakan yang peka kepada perasaan orang lain dan keadaan sekeliling.

Sebagai khidmat sokongan, PRS membantu menggerakkan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah.

Sebagai salah satu sumber kepada rakan untuk mendapat bantuan.

Sebagai penghubung kepada khidmat bimbingan dan kaunseling seperti membuat rujukan jika perlu.

Sebagai peninjau rasa untuk membolehkan Kaunselor/Guru Bimbingan dan Kaunseling menjalankan strategi intervensi jika perlu.

Sebagai Role Model kepada pelajar lain.

Menjadi fasilitator yang bersikap terbuka, yakin dan percaya diri, berasa selesa dan berempati.

Menerima rakan secara terbuka dan tanpa syarat.

Mendengar, menjelas dan membantu rakan melihat beberapa alternatif sebelum membuat keputusan.

Memberi sokongan dan galakan untuk rakan mengambil langkah positif.

Menyedari bahawa bukan semua masalah boleh diatasi.

Berbincang dan membantu rakan yang menghadapi masalah biasa/normal.

Memimpin rakan melihat masalah dengan objektif dan mengalakkannya mencari penyelesaian sendiri supaya ia belajar melalui pengalamannya.

Menjalankan program membantu sambil mempengaruhi rakan lain supaya melibatkan diri.

Mengutamakan kesejahteraan diri dan memahami batasan diri untuk membantu.

  Etika PRS

PRS perlu patuh kepada etika berikut:

Amanah dan menyimpan rahsia.

Menerima dan menghormati rakan dan orang lain.

Tahu batasan dan keupayaan diri.

Sentiasa berusaha meningkatkan diri dari pelbagai aspek.

Melapor kepada Kaunselor/Guru Bimbingan dan Kaunseling tentang kes yang boleh merosakkan diri atau orang lain.

Merujuk kes rumit kepada Kaunselor/Guru Bimbingan dan Kaunseling.

Mematuhi peraturan sekolah dan norma masyarakat dan agama.