RENUNGAN BUAT PELAJAR

Jika Tidak Dipecahkan Ruyung, Manakan Dapat Sagunya


Ruyung ialah kulit atau kayu yang keras daripada batang pokok rumbia. Pokok ini menghasilkan sejenis makanan yang dinamakan sagu. Bagi mendapatkan sagu, kulit pada pokok rumbia tersebut harus dipecah-pecahkan terlebih dahulu. Pokok ini pula sukar didekati kerana kedudukannya yang kadang-kadang berdekatan dengan paya dan di dalam hutan. Pendek kata, usaha untuk mendapatkan sagu bukanlah satu usaha yang mudah. Dari rumah lagi, seorang pencari sagu harus bersedia dari segi mental dan fizikal. Parang dan kapak seharusnya tajam. Persiapan menghadapai binatang-binatang berbisa dan lain-lain kemungkinan juga harus dititik beratkan.

Maksud pepatah jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya bermaksud sesuatu cita-cita atau matlamat itu tidak akan tercapai tanpa usaha.
Bagi mencapai sesuatu matlamat, seseorang itu harus berusaha. Usaha yang berterusan harus mempunyai elemen-elemen berikut:

1. Mempunyai kemahuan yang kuat untuk mencapai kejayaan.

2. Mempunyai keyakinan yang tinggi, bahawa usaha hebat akan menghasilkan kejayaan.

3. Berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan dan sanggup membantu orang lain bagi mencapai kejayaan yang sama.

4. Mempunyai kaedah yang hebat untuk Berjaya.

Rumusan:

Kesungguhan untuk Berjaya boleh menghasilkan kejayaan. Usaha mencapai kejayaan itu, pelbagai kaedah boleh digunakan mengikut kesesuaian masing-masing.

Impian yang tinggi tanpa diiringi usaha adalah sesuatu yang sia-sia. Secara umumnya usaha yang sedikit pula akan menatijahkan hasil yang tidak seberapa. Oleh itu, sebagaimana kita meletakkan impian dan matlamat yang tinggi untuk dicapai, maka usaha juga perlulah luar biasa kerana kejayaan yang luar biasa tidak akan datang bergolek begitu sahaja.

0 comments: